4 KEBAIKAN COKLAT GELAP

Pexels.com

SIAPA yang dapat menahan godaan rasa enak coklat? Apatah lagi jika coklat yang dihidangkan adalah daripada jenama mahal dan memang terkenal dengan rasa memikat? Malah melihat gambar makanan bersalut lelehan coklat pun boleh membuatkan ramai terliur dan mula membayangkan rasanya yang mewah.

Memang tidak dapat dinafikan hebatnya tarikan coklat yang sukar ditolak oleh sesiapa pun termasuk individu yang mahu berdiet. Tidak kira umur, jantina dan bangsa, semuanya pasti mempunyai coklat kegemaran masing-masing.

Tidak kira apa pun jenama dan variasi pilihan anda, secara umumnya coklat yang ada di pasaran boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu coklat hitam, coklat susu dan coklat putih.

Sekiranya anda peminat tegar coklat pasti mengetahui coklat terbaik untuk kesihatan bagi mengelakkan kemudaratan akibat terlalu banyak menikmati makanan mewah ini khususnya dalam kategori coklat manis.

Menurut kajian, coklat hitam adalah pilihan terbaik dan mampu memberi kesan baik kepada kesihatan anda. Walaupun ada banyak pihak memperkatakan mengenai kebaikannya, coklat hitam perlu diambil secara sederhana dengan kuantiti yang tidak berlebihan.

Ini kerana coklat hitam mengandungi antioksida, flavonoid (lapan kali lebih tinggi berbanding strawberi) dan baik untuk kesihatan jantung kerana mampu melancarkan perjalanan darah selain merendahkan risiko masalah pembekuan darah.

Ia juga dikatakan mampu merangsang mood dan meningkatkan hormon untuk perasaan gembira.

KANDUNGAN PENTING COKLAT GELAP

1. Polifenol

Ini adalah antara kandungan utama dalam coklat yang berfungsi mencegah ia daripada tengik. Polifenol juga menjadi penangkis kepada beberapa penyakit kronik seperti kanser, sakit jantung, tekanan darah tinggi dan strok. Jangan risau, jika sekadar mengambil dalam kuantiti diperlukan.

2. Teobromina

Sebaik menjamah coklat, kita akan berasa lebih bertenaga. Mata mengantuk secara automatik akan terbuka dek penangan teobromina. Bagi individu yang diserang batuk, disyorkan mengambil coklat kerana dikatakan lebih mujarab daripada ubat batuk. Seperti teh yang digunakan untuk mencuci muka, kini coklat turut dijadikan pupur bagi menyegarkan kulit wajah.

3. Feniletilamina

Kandungan feniletilamina memberikan rangsangan otak yang menghasilkan dopamin. Kesan kehadiran dopamin mencetuskan perasaan ceria dan tenteram hingga membangkitkan mood romantis. Jadi, tidak hairanlah jika dari dulu lagi coklat sering dijadikan hadiah yang paling romantik.

4. Antioksidan

Bagi individu yang risau dengan garis penuaan yang mula timbul di wajah, coklat barangkali boleh membantu. Sifat antioksidan mampu membantu mencegah proses penuaan yang disebabkan kesan radiasi. Gaya hidup tidak seimbang dengan pilihan makanan segera yang diambil tanpa had juga menjadi penyumbang yang mempercepatkan proses berkenaan.

Join the conversation

TOP