7 JENIS LEGEND BIJIRIN

Pexels.com

Di Malaysia, sudah semestinya rata – rata menjadikan bijirin sebagai makanan wajib untuk di ambil. Kalau ada yang cakap tidak itu sememangnya sangat pelik dan satu keajaiban. Bijirin yang kita sedia tahu adalah berbentuk makanan yang tinggi serat dan nutrient. Bijirin yang paling popular di Malaysia ialah seperti beras perang, barli dan gandum. Namun yang demikian, masyarakat Malaysia masih menggunakan beras putih berbanding beras perang. Ini kerana berkemungkinan atas faktor keselesaan atau mindset iaitu beras akan berwarna putih dan bukan berwarna selain putih. Segelintir rakyat Malaysia masih takut untuk menggunakan beras lain selain beras putih kerana khuatir akan risiko dan kesan terhadap kesihatan mereka. Namun yang demikian, usah risau lagi. Jom kita ambil tahu tentang kehebatan 7 jenis bijirin yang wajar untuk kita ambil di dalam diet harian.

Menurut pakar pemakanan Daniella Chein, makanan ini dapat menjadi menu makanan yang seimbang:

“Nasi amatlah berkhasiat dan mempunyai pelbagai fungsi yang baik untuk kesihatan. 7 jenis bijirin ini adalah berasaskan daripada sumber semula jadi, tinggi kandungan serat dan magnesium dan sesuai untuk tubuh. Di samping itu, ianya juga rendah lemak. Oleh itu, mereka boleh dimakan setiap hari tanpa sebarang masalah dan rasa bersalah “, jelasnya lagi.

Pexels.com

1 – Beras perang: Makanan ini adalah makanan yang selalu digelar makanan orang -orang “kayangan” atas faktor harganya yang lebih mahal dari beras putih. Beras perang ini berwarna merah coklat. Ia merupakan agen antioksidan, yang dapat membantu mencegah penuaan sel pramatang dan tindakan radikal bebas. Ia juga mempunyai pelbagai jenis serat makanan, yang dapat menyumbang kepada rasa kenyang dalam jangka masa yang lama, mencegah sembelit dan meningkatkan kesihatan kardiovaskular. Beras perang juga kaya dengan pelbagai mineral seperti kalium, magnesium, fosforus dan mangan dalam komposisi yang sesuai untuk tubuh badan manusia. Beras perang banyak diambil dan dijadikan menu diet harian bagi mereka yang ingin mengurangkan kadar kolesterol dan juga menurunkan berat badan. Namun ada yang bertanya, khasiat beras perang ini serupa beras basmathi ke? Jawapannya adalah lebih kurang sama cuma mempunyai perbezaan pada jenis dan saiz beras. Beras basmathi mempunyai saiz yang lebih besar sedikit berbanding beras perang.Tetapi kedua -duanya amatlah digalakkan untuk dijadikan sajian diet harian untuk menggantikan beras putih yang rendah serat dan nutrien.

Adobe Stock.com

2 – Barli: Barli adalah bijirin yang sangat berkhasiat yang boleh menguatkan sistem imun badan si penggemarnya. Sumber vitamin B yang terkandung di dalam barli, berkebolehan untuk membantu penghasilan tenaga pada tubuh kita. Barli juga berfungsi untuk memberi manfaat kepada otak dengan meningkatkan daya tumpuan dan ingatan. Ini kerana barli bersifat antioksidan dan ia akan mempercepatkan proses pertumbuhan sel baru darah merah. Darah merah yang dihasilkan juga sangat kaya dengan oksigen. Selain itu, barli juga mengandungi beta-gluten yang baik untuk mengurangkan kadar kolesterol di dalam badan. Beta – gluten ini juga sangat baik kerana ianya mudah dihadam dan mudah larut di dalam sistem penghadaman. Ini akan memberikan kebaikan kepada usus kita. Barli juga bagus untuk menghalang atau mencegah pembentukan batu karang, sembelit , sakit jantung dan tekanan darah tinggi. Masya’allah, sungguh hebat makanan sunnah yang diambil oleh baginda Rasullullah saw. Masalah demam ringan juga boleh diatasi dengan meminum segelas air barli. Malahan luka akibat kebakaran juga boleh menggunakan barli dengan cara melenyeknya dan tampal pada luka tersebut. Insya’allah, luka tersebut akan kembali pulih seperti sedia kala namun ini adalah jalan ikhtiar sebelum ke klinik ataupun hospital.

Adobe Stock.com

3 – Gandum: Gandum adalah salah satu bijirin yang paling berpengaruh di seluruh dunia. Dengan khasiatnya yang kaya dengan vitamin, mineral dan protein ia mampu digemari dan mendapat tempat di hati semua orang. Rata – rata masyarakat tidak kisah untuk menghabiskan wang ringgit yang banyak hanya semata – mata untuk memilikinya. Jika di negara Barat, mereka lebih gemar menanam sendiri pokok gandum untuk kegunaan harian mahupun pasaran. Berbeza pula di negara Asia,gandum sememangnya akan dibeli dari luar atas faktor tidak mampu menanamnya sendiri atas faktor klimaks yang berbeza. Ini akan menjadikan harga gandum adalah lebih mahal dan hanya segelintir orang sahaja yang mampu memilikinya. Gandum secara mudahnya mampu membantu dalam proses penurunan berat badan. Pengambilan gandum yang efisien juga mampu mencegah penyakit seperti diabetes. Ini kerana, gandum sangat kaya dengan magnesium. Ia adalah mineral yang bertanggungjawab untuk mengawal kadar gula dalam darah. Jadi, pesakit diabetes tidak perlu rasa gundah gelana untuk mengambil bijirin gandum kerana sudah semestinya kadar kandungan gula di dalam darah berada di paras yang stabil. Di kesempatan itu, bijirin gandum selalu diterjemahkan dalam bentuk produk seperti roti multi grain, roti wholemeal, cereal gandum dan tepung gandum. Jelas di sini, dengan kemajuan teknologi yang ada, gandum sudah diekstrak dalam bentuk bahan makanan di mana ianya mudah untuk orang ramai gunakannya dalam pelbagai masakan. Orang melayu berkata, tak kenal maka tak cinta. Kenalilah dahulu kebaikan si gandum dan kemudian insya’allah akan tersangkut di hati!.

Adobe Stock.com

4 – Triticale: Bijirin triticale adalah kacukan daripada rai dan gandum. Triticale mempunyai kandungan serat, vitamin dan mineral yang sangat tinggi. Mineral yang terkandung di dalamnya seperti zat besi, zink, kalsium, kalium dan mangan. Nutrien ini berkepentingan untuk membantu proses perkembangan tulang dan otot sendi kita. Ia juga berperanan untuk membantu meningkatkan kesihatan jantung, selain mampu mencegah penyakit anemia. Triticale juga merupakan sumber protein yang hebat. Triticale mampu menyumbang kepada pembentukan sel-sel baru di dalam tubuh dan penghasilan kolagen. Wah, hebat betul triticale!. Namun triticale banyak di pasaran negara Barat berbanding negara Asia seperti Malaysia. Paling menggembirakan ialah penghasilan kolagen yang semulajadi, ini pastinya berita yang baik buat para wanita di luar sana.

Adobe Stock.com

5 – Oat: Oat merupakan nama yang bukan lagi asing di Malaysia. Namun , ada segelintir yang mungkin samakan oat dan gandum. Ini kerana hasil produk seperti cereal yang lebih kurang sama pada mata namun mempunyai perbezaan pada rasa. Sememangnya, oat sangat dekat di hati untuk si pengdiet yang sememangnya inginkan badan yang sihat dan lansing. Oat juga mudah dimakan kerana teksturnya yang lembut dan mudah dihadam oleh perut. Oat adalah bijirin yang kaya dengan serat makanan yang memudahkan proses penyerapan di usus. Ia juga mampu meningkatkan kesihatan kardiovaskular dan memberikan rasa kenyang dalam jangka masa yang lama. Pengambilan oat juga secara langsung adalah berperanan untuk menjadi agen pencegah penyakit barah, terutama barah payudara dan usus besar. Ianya juga berfungsi untuk membekalkan sumber tenaga pada tubuh kita. Subhana’llah, bukan kaleng -kaleng si oat, bukan sekadar emping yang kosong. Jika dipandang sekali lalu pastinya tidak menginginkannya tetapi bila tahu khasiatnya wow nak memilikinya sekarang juga.

Adobe Stock.com

6 – Biji rami:  Biji rami atau lebih selesa lagi dipanggil sebagai flaxseed.Biji rami telah dinikmati oleh masyarakat dahulu sekurang-kurangnya 6,000 tahun. Mereka menjadikannya sebagai salah satu makanan super hebat pertama di dunia!. Biji rami mempunyai kelebihan seperti tinggi serat dan rendah karbohidrat. Ia juga tinggi omega- 3 dan paling menarik biji rami mampu menjadikan kulit dan rambut sihat. Wah, seronok dengar!. Bukan apa, nak mendapatkan kulit yang cantik dan rambut yang sihat itu sangatlah susah kerana ia memerlukan modal yang besar. Salah satu biji yang kaya dengan serat untuk diet sihat kita, juga terdapat dalam beras 7 bijirin. Flaxseed juga berperanan untuk membantu proses di usus kita. Selain itu, ia juga berperanan untuk meningkatkan kesihatan jantung dan mampu membantu mencegah perkembangan penyakit kardiovaskular seperti strok dan infark. Terakhirnya, biji rami membantu dalam proses penghasilan tenaga kepada tubuh yang mampu meningkatkan prestasi dalam aktiviti harian. Insya’allah, dengan adanya sokongan yang baik, badan dan otak akan berfungsi dengan lebih efisien dan berkualiti.

Adobe Stock.com

7 – Quinoa: Quinoa juga dikenali sebagai bijirin “super kuat”. Quinoa adalah makanan yang kaya dengan zat besi, kalsium, kalium, magnesium, selain ianya sangat kaya dengan vitamin B dan E. Quinoa secara semula jadi adalah sumber semulajadi yang bebas gluten. Quinoa dapat dibahagikan kepada 3 jenis iaitu quinoa merah, putih dan hitam. Ketiga-tiganya mempunyai khasiat yang lebih kurang sama. Paling syoknya, ia juga mampu menjadi sumber protein untuk badan kita. Nutrien yang terkandung di dalamnya, sangat membantu dalam proses untuk kita mengawal kolesterol di dalam darah. Ia juga sangat membantu di dalam proses penurunan berat badan di samping memberikan rasa kenyang yang panjang seolah-olah menikmati nasi putih. Wow! , sudah semestinya sangat bagus untuk menggantikan nasi putih. Nak berhenti nasi putih bolehlah bermula dengan mengambil quinoa. Rasa keenakkannya pastinya mampu meninggalkan kesan positif di dalam diri.

Adobe Stock.com

Alhamdullillah, 7 jenis khasiat bijirin sudah kami kongsikan bersama anda. Kini, tinggal anda untuk menentukan sama ada mahu menjadikan salah satu daripadanya sebagai diet sihat yang mampu menggantikan nasi putih. Bukan nak cakap nasi putih itu tidak sihat cuma ianya sangat kaya dengan karbohidrat yang mana boleh menyebabkan kita mengalami masalah obesiti dan jantung. Perlu diingatkan jika makanan terlalu tinggi dengan serat karbohidrat, ianya boleh mendatangkan kemudaratan yang pastinya bukan mudah untuk kita tangani. Berubahlah kepada permakanan yang sihat dengan hanya memilih salah satu daripada 7 jenis bijirin di atas. Berikanlah sumber makanan yang sihat untuk badan dan otak supaya kesihatan terjamin dan bebas dari sebarang penyakit berbahaya. Selamat mencuba!.

Join the conversation

TOP