“PENGHADANG” MUJARAB SI JERAWAT.

Pexels.com

Rata- rata netizen menganggap makanan bukanlah punca kepada masalah jerawat yang dihidapi oleh 80 peratus rakyat negara kita, namun ada juga yang bersetuju jerawat boleh timbul disebabkan faktor makanan. Ada yang membangkang?

Bagaimanapun, menurut pakar jerawat dan jeragat Dr Hasseenah Hassan, kedua-duanya betul kerana ia sebenarnya bergantung kepada bagaimana tubuh setiap orang memberi reaksi kepada makanan yang dimakan.

Katanya, sesetengah orang menghidap alahan kepada makanan jenis kekacang, ada pula alah terhadap makanan berminyak tetapi bukan semua orang mempunyai kesan reaksi yang sama.

Namun pada yang memang mempunyai masalah jerawat, terdapat beberapa jenis makanan yang boleh menambahkan kesan buruk kepada keadaan itu.

Menurutnya, bagi mengetahui makanan yang memberikan reaksi kepada kulit, anda perlu ingat apa yang dimakan dan peka kepada makanan tersebut agar tidak mengambilnya lagi.

Ini kerana katanya, jika anda tidak peka dengan keadaan tubuh sendiri, bagaimana anda hendak mengelakkan diri daripada terus ditumbuhi jerawat pada kulit muka, belakang dan leher.

“Tetapi saya ingin tekankan di sini bahawa tiada sebarang makanan pun yang boleh menyebabkan timbulnya masalah jerawat pada kulit tetapi reaksi tubuh anda terhadap makanan itu sendiri.

“Jerawat tumbuh disebabkan masalah gula dalam darah, radang kulit yang kronik dan juga stres melampau. Banyak jenis makanan yang boleh memburukkan lagi keadaan kulit yang sedia bermasalah dan seterusnya menyebabkan pertumbuhan jerawat.

“Contohnya, jerawat akan tumbuh jika kurang tidur, menyedut udara tercemar dan juga menghadapi tekanan yang teruk akibat kerja dan hal peribadi,” katanya.

Pexels.com

Antara makanan yang boleh menyebabkan reaksi kulit kepada jerawat:

1. Makanan berlemak dan bergoreng – Ia meningkatkan kandungan glukosa (gula) dalam darah daripada karbohidrat dan lemak.

2. Makanan daripada produk tenusu – Kandungan lemak dan hormon yang tinggi dalam susu lembu boleh menyebabkan alahan

3. Makanan daripada karbohidrat yang diproses – Kandungan gula dalam makanan yang diproses adalah tinggi.

4. Minuman berkafein dan berkarbonat – Ia menyebabkan kelenjar adrenalin merembeskan hormon penyebab stres dan juga boleh mengganggu tidur anda. Minuman berkarbonat juga mengandungi banyak gula iaitu lebih kurang tujuh sudu teh gula untuk setiap tin minuman. Kandungan gula yang tinggi akan menyebabkan kulit berminyak dan memburukkan keadaan kulit yang berjerawat.

5. Makanan yang diproses atau ditinkan – Mana-mana makanan bukan dari sumber asli dianggap tidak sihat untuk dimakan.

Anda boleh mengurangkan masalah jerawat pada kulit muka, leher dan belakang jika pengambilan makanan berkenaan dikurangkan. Namun, ia tidak cukup untuk mengubati masalah jerawat yang kronik kerana anda perlu mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan dari pakar dermatologi.

Makanan untuk kurangkan jerawat

Berikut amalan pemakanan yang boleh dipraktikkan bagi membantu mengurangkan masalah jerawat pada kulit:

1. Sayur-sayuran dan buah-buahan

2. Amalkan meminum air suam atau air masak sekurang-kurangnya dua liter sehari

3. Amalkan cara masakan memanggang, stim atau bakar

4. Memakan makanan berserat tinggi seperti roti bijirin penuh, susu skim atau rendah lemak, tuna yang tinggi Omega-3, ayam organik, salad, jus buah-buahan segar dan banyak lagi.

Sudah tahu “penghadang” semulajadi untuk jerawat? Apa kata anda? Masihkah menyalahkan jerawat atau sudah tahu bagaimana untuk mengusirnya dari muka anda? MESTI la DAH TAHU kan! Alhamdullillah, semoga perkongsian ini bermanfaat buat anda semua.

Join the conversation

TOP