Hobi membaca buku, bukanlah aktiviti yang kuno. Ia merupakan hobi hebat kerana “buku adalah jendela dunia”. Orang yang suka membaca buku adalah mereka yang penuh dengan ilmu pengetahuan.
Di samping itu, membaca buku juga mempunyai kesan positif kepada kesihatan antaranya melindungi otak dan menjadikan ia sentiasa segar dan terhindar dari penyakit Alzheimer.
Membaca buku juga tidak membuatkan kita stres malah akan mendorong kepada pemikiran positif dan dapat mengukuhkan hubungan dengan orang lain.
Lihat, apa yang dikatakan oleh pakar tentang manfaat positif dari membaca buku.
1. Otak akan dilatih untuk mengingat
Membaca buku adalah salah satu latihan otak yang berbeza dari menonton televisyen atau mendengar muzik.
Ini bermaksud, kebiasaan membaca akan menggesa otak untuk berfikir dan meningkatkan daya tumpuan berbanding dengan menonton televisyen.
2. Otak akan sentiasa muda
Menurut kajian terbaharu dari Rush University Medical Center yang diterbitkan ke dalam jurnal Prevention, membaca buku dapat menjaga otak selama bertahun-tahun.
Orang dewasa yang menghabiskan waktu lapangnya dengan melakukan aktiviti intelektual seperti membaca, akan mempunyai tingkat penurunan kognitif sebanyak 32 peratus lebih lambat dibandingkan dengan mereka yang tidak membaca buku.
3. Menghilangkan stres
Dalam satu kajian, peserta diminta terlibat dalam aktiviti yang mencetus kepada kecemasan, kemudian dia disuruh membaca selama beberapa minit, mendengarkan muzik, atau bermain permainan video.
Tingkat stres dari peserta yang membaca buku turun 67 peratus, dibandingkan dengan peserta kelompok lain.
4. Menambah pengetahuan tentang kosa kata
Kita dapat menggunakan buku untuk memperluas pengetahuan tentang perbendaharaan atau kosa kata. Para penyelidik mendapati setiap orang mempelajari 5 hingga 15 peratus dari semua perkataan apabila membaca.
Oleh itu, membaca sangat penting kepada kanak-kanak, yang rujukan kosa katanya dipengaruhi oleh buku yang mereka baca.
Membaca juga memberi kita motivasi untuk menjalani kehidupan dengan lebih baik lagi.
5. Memberi motivasi dan semangat
Dengan membaca akan membuatkan kita mampu mendefinasikan watak seseorang dan merasakan peristiwa yang dialaminya seolah-olah terjadi kepada kita. Maka, semakin besar kesempatan itu kita ambil sebagai hikmah.
Kesimpulannya, buku lebih bermanfaat sebagai sumber hiburan yang memberi pelbagai kebaikan kepada kesihatan terutama sekali otak.
Melalui bahan pembacaan juga akan tercetusnya idea-idea yang luar biasa dan kreatif. Dengan adanya idea baru, ia membantu untuk meningkatkan taraf kehidupan sesebuah tamadun bangsa tersebut.
Membacalah untuk mendapatkan otak yang MUDA!